#48 Bersabarlah Sayang

Masih teringat dikala itu aku sedang tekun bermain komputer tatkala hujan di petang yang dingin hari ke 24 berpuasa. Berdendangan lagu dari Winamp aku:

Semua insan sedang gembira
Di hari ini sayang
Hari yang mulia
Marilah bersama berhari raya
Hilangkan duka

Lupakan saja kisah yang lalu
Gantikan cerita baru
Agar hatimu waspada selalu
Jangan kau kesalkan
Jangan engkau tangiskan

Pada mereka yang tak mengerti
Menuduh dirimu
Di jurang kesalahan saja
Ku tak sampai hati
Biarkan engkau sendiri

Tetapi diriku dan juga temanmu
Yang tahu kisah derita
Dan luka di dada, hanya kuharapkan
Kau harus bersabar
Dan bertenang selalu

Apa yang terlintas dalam hati aku bukanlah berkenaan Hari Raya, bukanlah mengenai baju raya dan juga bukan peralihan kuasa Perdana Menteri. Tetapi hati aku ingin mengetahui siapa penyanyi lagu ini, kenapa dia bersedih diatas temannya di kala Hari Raya. Apakah yang telah berlaku pada temannya? Siapakah teman seorang lagi? Awek ke? Segala persoalannya ini muncul ketika aku mendengar lagu ini di Bachang, 3-4 tahun yang lalu. Aku ingin mencari jawapan namun aku juga ingin biarkan ia disebalik kegelapan misteri. Tidak aku perlu mengetahui kerana lagu ini boleh berlaku pada sesiapa sahaja dalam hidup ini dan kepada teman-teman anda.

Menjadi kebiasaan pada menjelang hampir dengan Hari Raya, orang muda melayu Islam terutamanya mula mencari dan mengorek koleksi lagu raya masing-masing dan mendendangkan di sumber audio masing-masing. Tidak kurang juga ramai yang beralih siaran radio, kalau dahulunya selalu mendengar lagu-lagu barat kini beralih ke stesen radio melayu.

Setelah mereka mendapat lagu yang diinginkan, mereka akan cuba menghayati sedaya upaya lagu tersebut agar bangkit perasaan syahdu, kepiluan, dan penuh keinsafan. Tidak kurang juga ada yang mendalami lagu tersebut hinggakan memperasankan diri agar berada dalam not-not lagu tersebut.

"Lupakan saja kisah yang lalu...
Gantikan cerita baru"
Pada rangkap ini mungkin pendengar tersebut membayangkan bahawa dia ada seorang sahabat. Ataupun dalam minda beliau tercari sahabat beliau yang mungkin sedang dirundung masalah. Pada ketika Hari Raya, pendengar menasihati sahabat beliau supaya lupakan cerita masa lalu, gantikan cerita baru.

"Pada mereka yang tak mengerti, Menuduh dirimu
Di jurang kesalahan saja, Ku tak sampai hati
Biarkan engkau sendiri"

Tiba-tiba pula ada pihak yang menuduh sahabat pendengar ini. Apakah kesalahan sahabat ini, sampaikan dituduh berbagai fitnah berbaur hasat kedengkian. Akibatnya sahabat beliau dibuang kerja dan hidup sebatang kara. Sudahlah tak kacak, begitu malang sahabat pendengar ini. Mujurlah pendengar ini seorang yang budiman, teman baik ketika susah. Pendengar begitu kasihankan sahabat beliau dan mengajak beraya sekali. Maka berbahagialah sahabat beliau hinggakan berlinangan air mata terharu akan pendengar yang budiman.

Demikian agak syahdu pendengar ketika itu, mengenangkan sahabatnya yang menderita dalam kehidupan, mujurlah ada dirinya yang selalu mengasihani sahabat beliau. Padahal sahabatnya itu hanyalah mainan fikiran beliau dan dibuat-buat. Sedangkan sahabat tersebut sedang bersenang-lenang berada di rumah menanti waktu berbuka.

Sebenarnya banyak lagi lagu raya yang boleh dihayati lagi dan aku enggan mengulas dan membuat spekulasi mengenai perkara ini lagi kerana masing-masing punyai fikiran kreatif bagi menghidupkan suasana perayaan masing-masing.

Lagu Sanisah Huri sememangnya kegemaran aku, sehingga sekarang lagu ini diperdendangkan di stesen-stesen radio tempatan. Dengan harapan anak-anak muda sekarang memelihara kesenian masa lalu dan semoga dapat memeriahkan Hari Raya yang semakin lama semakin hambar disambut. Sekian, wassalam.

Sekilas sepanjang bulan Ramadan...
  • Aku bersahur dan berbuka buffet 3 hari berturut-turut di Quality Hotel, peace!
  • Game FF12 berkisar mengenai peperangan di Ivalice masih belum tamat. Matlamat aku minggu ini untuk dapatkan armor piercing ammo untuk Balthier. Kesian Balthier asyik pakai Aldebaran.
  • Hmm...aku sangat mengantuk sepanjang hari...

0 komentar: